Takdir sentiasa mengatasi tadbir. Takdir daripada Allah, sedangkan tadbir hanya dari kita hambaNya. Kekadang takdir dan tadbir selari, maka terjadilah apa yang kita inginkan terjadi. Alhamdulillah.
Namun acapkali juga takdir dan tadbir bersalahan, bertentangan, maka terjadilah apa yang kita tidak inginkan terjadi. Kita ingin putih, hitam pula yang menjelma. Kita dambakan kebahagiaan, kesedihan pula yang menimpa.Ketika itu hati akan bertanya, apa lagi yang tidak kena?
Apabila kita ditimpa ujian maka berusaha dan berikhtiarlah untuk menangani ujian itu tetapi jangan sesekali lupa mencungkil hikmahnya. Jangan sesekali menyalahkan takdir. Ah, ini sudah nasibku, takdir Allah tetapkan menjadikan aku sebegini. ia bukan sebegitu. Sesungguhnya yang baik sudah pastilah dari Allah, yang buruk itulah dari diri kita sendiri.Oleh yang demikian, apabila diuji, terimalah dengan baik dengan mencari hikmah-hikmahnya kerana tidak ada takdir Allah yang tidak ada hikmahnya. Ingatlah, bahawa orang soleh itu bila diuji, hikmah-hikmah ujian akan mendekatkan mereka kepada Allah.
Mulakanlah langkah mencari bahagia dengan merasakan bahagia melihat kebahagiaan orang lain.


No comments:
Post a Comment